BN mahu pastikan harga lantai getah lebih tinggi - Utusan Malaysia

BN mahu pastikan harga lantai getah lebih tinggi

MAHDZIR Khalid (tengah) beramah mesra dengan penduduk ketika hadir ke Majlis Pekebun Kecil Makmur dan Kenduri Rakyat Risda di Kampung Nako, Kuala Nerang. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Barisan Nasional (BN) memberi jaminan untuk memastikan harga lantai getah sekerap berada pada paras lebih tinggi berbanding RM2.50 sekilogram (kg) sekiranya kembali menerajui kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, agenda membela nasib golongan pekebun kecil sentiasa berada dalam dasar kerajaan BN.

“Itu kita boleh letak sebagai tawaran baharu bawah kerajaan BN yang menjamin untuk menaikkan harga lantai pada kadar sesuai. Saya sendiri pun memang akan terus perjuang nasib pekebun-pekebun kecil di negara ini.

“Kalau kita kekalkan kerajaan ini dengan memberi undi kepada calon-calon BN di seluruh negara sehingga kerajaan itu kekal, maka polisi itu diteruskan, kita setuju harga lantainya lebih RM3, contohnya RM3.20,” katanya yang juga Naib Presiden UMNO.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program Pekebun Kecil Makmur dan Kenduri Rakyat Risda Kedah 2022 di Kampung Nako, Belimbing Kanan, Kuala Nerang di sini hari ini.

Tambahnya, kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sentiasa menyasarkan kepada agenda serta dasar untuk membantu rakyat daripada pelbagai golongan.

“Dengan dasar sedia ada itu membolehkan kerajaan membuka pintu untuk rakyat mendapat segala bentuk bantuan seperti melalui Risda ini,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 10,971 pekebun kecil di Padang Terap menerima manfaat menerusi pelbagai program Risda seperti tanam semula getah, produktiviti dan pemasaran getah, hasil baharu serta keusahawanan yang telah meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

“Risda menetapkan sasaran bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil dengan purata pendapatan sebanyak RM4,500 sebulan sekeluarga menjelang akhir tahun 2025.

“Dengan nilai peruntukan sebanyak RM13 juta bagi daerah ini, saya yakin Risda memastikan keseluruhan projek pembangunan yang telah dirangka dilaksanakan dengan sebaik mungkin demi kepentingan pekebun kecil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya