KANGAR: Barisan Nasional (BN) konsisten mengenal pasti keperluan rakyat khususnya dalam menyediakan manifesto yang realistik, relevan dan logik dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Calon BN bagi Parlimen Kangar, Datuk Fathul Bari Mat Jahya berkata, parti itu hanya fokus menjanjikan perkara yang boleh dilaksanakan kepada rakyat dalam manifesto mereka yang bakal diumumkan tidak lama lagi.
Katanya, BN sememangnya meletakkan manifesto sebagai perkara yang penting untuk ditunaikan kepada rakyat khususnya di Parlimen Kangar.
“Misi BN adalah konsisten iaitu untuk mengenal pasti keperluan rakyat dan menjanjikan perkara yang boleh kita laksanakan kepada mereka,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon Parlimen Kangar di Dewan Warisan di sini hari ini.
Parlimen Kangar bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan Fathul Bari; Noor Amin Ahmad (PH); Zakri Hassan (PN), Rohimi Shapiee (Warisan) dan Nur Sulaiman Zolkapli (GTA).
Dalam pada itu, mengulas mengenai pertembungan lima penjuru itu, Fathul Bari yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, beliau sememangnya meraikan sistem demokrasi dalam PRU15, malah BN juga telah bekerja buat rakyat Perlis menerusi pelbagai program dan gerak kerja yang dirancang di peringkat bahagian.
“Saya kira walaupun pertembungan lima penjuru, sudah tentu ia akan memecahkan undi namun kita yakin rakyat bijak memilih,” katanya.
Tambah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar itu, beliau juga menyifatkan pencalonannya untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Kangar dalam PRU15 tidak akan mengganggu kerja-kerja dakwah yang dilakukannya sebelum ini.
“Saya memakai pelbagai topi, bila pakai songkok maka kita mengajarlah di masjid dan jika pakai sut serta tie, kita duduklah dalam dunia korporat. Bagi saya BN di Perlis dan Parlimen Kangar sendiri telah menyentuh pelbagai segmen sebelum ini untuk kebaikan rakyat secara bersama,” katanya. – UTUSAN