PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) dan UMNO akan ketinggalan berbanding parti lawan sekiranya gagal meletakkan muka-muka baharu dan muda sebagai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di samping terus mengekalkan orang lama.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua pihak harus sedar apabila meletakkan muka baharu bermakna sebahagian peremajaan parti dan bertujuan memastikan penglibatan anak muda diberikan tempat serta kedudukan sewajarnya untuk memastikan suara mereka didengari dan pada masa sama tidak meminggirkan undi muda bawah 40 tahun.
Selain itu, katanya, semua pihak perlu menerima hakikat pengundi bawah 39 tahun mewakili sekitar 50 peratus pengundi di negara ini yang bakal keluar mengundi pada PRU15 kali ini.
“Maka, kita perlu pastikan sayap Puteri dan Pemuda BN berada dalam landasan yang betul di barisan hadapan di Barisan Nasional. Sebab itulah misalnya Ketua Puteri UMNO Malaysia, Ketua Puteri Negeri, Pemuda UMNO mengambil tempat dan kedudukan.
“Kita perlu berubah. Dalam politik ‘No one person is indispensable, but all people are important’ iaitu yang sudah lama berpolitik memberi laluan menjadi suri teladan BN manakala yang muda mulai mengambil tempat dan kedudukan bagi memperbaharui kesinambungan kepimpinan masa depan,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengumumkan calon-calon BN dalam PRU15 serta terdapat nama-nama besar UMNO seperti Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim, masing-masing digugurkan sebagai calon di Parlimen Ketereh dan Arau.
Menurut Ahmad Zahid, keputusan memilih calon bukan satu perkara mudah apabila banyak pertimbangan perlu diambil kira sebelum dimuktamadkan dengan ‘Top Five’ melakukan penyaringan terperinci bagi mengelak berlakunya pisang berbuah kali daripada sikap, pendirian dan tingkah laku yang boleh memudaratkan UMNO dan BN.
Jelasnya, berani dan bijaksana perlu dilakukan dalam usaha memulihkan dan menjadi pencetus kepada kebangkitan UMNO dan BN.
“Mereka inilah juga antara yang ramai dalam BN yang memenuhi ciri kriteria ‘Wali’ yang kita perlukan untuk memenangi pilihan raya umum pada kali ini, iaitu ciri winnability (boleh menang), acceptibility (kebolehterimaan) dan likeability (disenangi),” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan pemimpin tidak menjadi calon agar tidak sabotaj parti termasuk menutup bilik gerakan kerana kecewa dan kini tibanya masanya pula apabila tidak terpilih untuk mengambil sikap betul dan berjiwa besar menerima sebagaimana mereka pernah diberikan peluang belasan dan puluhan dahulu.
Katanya, ketika ini kesetiaan kepada parti, merapatkan barisan lebih penting daripada merintih apabila tidak dicalonkan.
“Mereka perlu sedar apabila ini dicetuskan ini menunjukkan warna sebenar sikap mereka terhadap parti dan rakyat perlu nilai sendiri peribadi politik sedemikian.
“Maka janganlah pula terfikir untuk mengkhianati parti secara langsung dan tidak langsung. Jika ini berlaku bermakna tidak bersyukur kerana selama ini mereka relevan, menjawat jawatan lama kerana atas tiket parti UMNO dan BN,” katanya. –UTUSAN