Mukadimah
SELAIN Datuk Seri Shahidan Kassim seorang lagi pemimpin veteran di Perlis, DATUK ZAHIDI ZAINUL ABIDIN juga antara yang digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sebagai tanda tidak bersetuju ekoran keputusan pucuk pimpinan memilih calon luar bertanding di Parlimen Padang Besar, Zahidi mengambil keputusan bertanding atas tiket Bebas.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkongsi pandangan terhadap pelbagai isu berbangkit itu selain meramalkan BN akan kalah dalam PRU15 di Perlis.
UTUSAN: Bagaimana perkembangan kempen memasuki pusingan kedua?
ZAHIDI: Dari segi pengundi, beberapa hari berkempen walaupun tak pergi ke semua tempat, namun, penerimaan pengundi cukup memberansangkan di mana mereka selari dengan pendapat saya, kita tidak mahu orang luar datang menjadi calon di sini. Saya juga terangkan kepada mereka kalaulah anak Perlis, Padang Besar, tidak ada masalah.
Peluang Datuk di Padang Besar ?
Saya bertanding bukan untuk menang, saya tidak bersetuju orang luar masuk, itu saja. Matlamatnya pilihan supaya ada kepada pengundi. Kalau mereka bersetuju tidak ada masalah, cuma saya berjuang sebab tidak bersetuju.
Komen mengenai pengguguran Datuk sebagai ahli UMNO ?
Kita melihat cara Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) mengurus UMNO ini akan menyebabkan UMNO akan kalah teruk. Kena buang pun takda masalah dengan kepemimpinan Zahid yang ada sekarang ini.
Pandangan Datuk melihat kepada gelombang PN di Perlis ketika ini ?
Di Perlis, ini kali ini kita nak guarantee tak mau, tapi BN memang kalah. Orang pun tak minat lagi BN dengan cara Ahmad Zahid ini. Daripada awal sehingga sekarang kita lihat UMNO makin lemah, makin lemah, makin buat kesilapan tidak mahu belajar. Saya rasa di Malaysia rakyat akan menolak kepimpinan Zahid.
Jangkaan keputusan PRU15 di Perlis ?
BN dijangka kehilangan sekurang-kurangnya sembilan kerusi DUN termasuk Parlimen Arau selain Padang Besar yang peluangnya masih seimbang. Ramalan tersebut adalah hasil kajian dan pengalaman melihat situasi semasa selepas pucuk pimpinan parti diketuai Presiden, Ahmad Zahid yang menggugurkan calon-calon boleh menang.
Di Arau, empat kerusi sudah tentunya kalah iaitu Guar Sanji, Pauh, Simpang Empat dan Sanglang. Di Kangar, BN dijangka kalah di Kuala Perlis, Indera Kayangan, Sena dan Bintong. Padang Besar BN dilihat sudah pasti kalah di DUN Titi Tinggi manakala Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dilihat tidak menghadapi masalah menang selain Padang Besar peluang 50-50 untuk BN menang. –UTUSAN