KUALA SELANGOR: Mewujudkan Taman Hab Perindustrian bagi merancakkan lagi ekonomi dan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat terutama golongan belia.Itu antara manifesto utama calon Barisan Nasional (BN), Datuk Habibah Mohd. Yusof sekiranya memenangi kerusi Parlimen Tanjong Karang.
Ketua Wanita UMNO Tanjong Karang itu berkata, objektif inisiatif itu bertujuan mengurangkan penghijrahan anak muda tempatan ke kawasan bandar.
“Sebagai contoh, Kuala Selangor mempunyai Puncak Alam yang pesat membangun kerana mempunyai kawasan perindustrian berskala besar.
“Tanjong Karang turut memiliki potensi itu yang perlu diwujudkan bagi menjadikan parlimen ini sebagai hab perindustrian di Selangor,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan manifesto itu, hari ini.
Jelas Habibah, hab eko dan agro pelancongan sedia ada turut perlu diperluaskan selain memfokuskan pertumbuhan keusahawanan.
“Saya juga mahu menaik taraf rangsangan jaringan capaian internet dan memperkasakan hab teknologi atau siber kepada generasi muda. Ia termasuk menyokong keperluan sektor pendidikan ‘EduGajet’ selain keutamaan bagi pendidikan khas,” ujarnya.
Tambah beliau, isu ban pecah dan infrastruktur turut menjadi fokus utama yang perlu diselesaikan sebaik mungkin.
“Masalah ban pecah yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini perlu diatasi menerusi kaedah teknologi terkini dan jangka panjang. Beberapa jalan utama dan alternatif juga perlu dinaik taraf selain membaiki jeti nelayan sedia ada,” katanya.
Kubu kuat BN yang tidak pernah tewas itu menyaksikan pertembungan lima penjuru dengan turut ditandingi Datuk Dr. Zulkapferi Hanafi dari Perikatan Nasional (PN) dan Siti Rahayu Bahari yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
Kerusi P095 itu turut disaingi akvitis, Azlan Sani Zawawi atau dikenali sebagai Lando dari Gerakan Tanah Air (GTA) dan pesara kerajaan yang bertanding sebagai calon Bebas, Mohd. Rosni Mastol.
Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berjaya mempertahankan kemenangan kerusi itu sejak 1995 melalui PRU9 hingga PRU14. – UTUSAN