Bila tok nenek 60-an lagi berani daripada kita

Bila tok nenek 60-an lagi berani daripada kita

PERJALANAN menambah makna pada muzik yang dianggap sekadar hiburan akan mengambil masa yang lama. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA yang percaya, dunia bergerak dalam gelungan ruang dan masa. Peristiwa hari ini boleh berulang berpuluh atau beratus tahun kemudiannya, walaupun tak semua faktor dan perinciannya sama.

Satu hal yang saya yakin akan berulang-ulang dalam sejarah ialah episod perlawanan.

Satu hal yang sudah mantap dan tepu akan dilawan dan dicabar. Ketepuan autoriti agama dan moral akan dilawan dengan budaya serta ideologi baharu yang mencabar agama dan moral, contohnya.

Begitu juga dalam muzik. Muzik arus perdana yang tepu dan membosankan mewujudkan jiwa-jiwa memberontak yang mahukan pembaharuan.

Pembaharuan terawal yang difikirkan biasanya radikal. Kalau arus perdana bunyinya bersih, kita beri yang paling kotor. Kalau arus perdana penuh dengan irama tradisi, kita import penuh bunyian luar.

Itu antara cara muzik berkembang. Kebosanan dan ketepuan melahirkan pemberontakan, lalu tersebar menjadi benih yang melahirkan muzik baharu.

Kebenaran terungkap

Sewaktu saya bikin video menjelaskan gelombang muzik independen tempatan dahulu, Mono dari The Times letak komen sebagai teguran. Dia tak berpuas hati apabila saya kata, gelombang muzik independen pertama bermula pada penghujung 1990-an.

Tolak tepi soal istilah, saya bertemu kebenaran pada kata-katanya sedikit demi sedikit, apabila saya mula membaca dan mendengar lebih banyak hal tentang muzik independen.

Apa yang saya dengar dari mulut abangnya, Naza dalam sesi terakhir Ipoh Music Symposium (IMS) pada Ahad lalu mengungkap terus kebenaran dalam komen Mono.

Intro lagu The Fabulous Falcon, kugiran 60-an dari Ipoh diisi bunyi seakan-akan hon kereta api wap. Mengikut penerangan pengumpul piring hitam, Rizal Shah Ahmad, bunyi itu dihasilkan menggunakan gitar.

Lagu tersebut bertajuk Midnight Express, sebuah trek instrumental yang pekat bunyi surf rock. Jerit gitar pada awal lagu itu disusuli hentakan dram dengan kesan delay yang memimik bunyi kereta api bergerak.

Selain melawan arus dengan membawa masuk bunyian Barat (ketika itu genre rock bawaan The Beatles atau The Beach Boys itu dipandang ‘kuning’), The Fabulous Falcon juga ada semangat eksperimentasi.

Masih melawankah kita?

Apa jadi pada budaya melawan dalam muzik sekarang? Itu antara persoalan yang bermain dalam fikiran selepas tamat segala sesi di IMS tahun ini. Masihkah kita ada semangat untuk melawan ketepuan muzik arus perdana yang sekarang ini gila tular?

Pastilah jika kenyataan ini diungkap tanpa konteks, orang akan marah. Muzik-muzik yang membawa semangat melawan ini masih wujud. Punk, metal, hardcore dan muzik-muzik bawah tanah lain itu juga melawan.

Saya cuma ingin bangkitkan situasi semasa lapangan yang dipanggil ‘indie’ ini. Mendengar lagu-lagu dari artis yang membawa nama ‘indie’ ini kadang-kadang mengecewakan. Bagai salinan muzik arus perdana sahaja sebahagiannya.

Ketika Buzzcocks tubuhkan syarikat rakaman mereka sendiri, New Hormones pada 1976, indie itu bukan sekadar tidak bergantung dengan syarikat rakaman bermodal besar. Ada semangat alternatif yang menjalar, baik dari segi haluan muzik atau sikap.

Jika makna indie hari ini tersempit pada praktis teknikal semata-mata – semua buat sendiri tapi lagu sama saja seperti yang dalam pasaran arus perdana – ia sangat mengecewakan.

Keberanian tok nenek

Ini yang IMS tahun ini ajarkan kepada saya. Tema Pop 60-an membawa kesedaran bahawa semangat melawan dalam muzik itu sudah lama lahir, cuma mungkin bentuknya berbeza seperti yang difahami sekarang.

Menonton The Strollers, The Rythmn Boys, Adnan Othman dan S. Mariam beraksi dalam malam konsert buat saya terfikir, wild juga tok nenek kita ini.

Ia dikukuhkan lagi dengan sesi pembentangan yang banyak membawa topik perlawanan. Baik muzik pop yang melawan hegemoni muzik tradisional dan jazz pada waktu itu atau pertembungan golongan tua vs muda serta kapitalisme vs sosialisme dalam filem A-Go-Go ‘67.

Sesi terakhir yang memberi ruang penuh kepada Naza Mohamad untuk memperaga koleksi piring hitamnya menyimpulkan segalanya: tok nenek kita memang hebat, berani dan mekar melawan.

Terima kasih Port Ipoh kerana memilih tema Pop 60-an untuk IMS tahun ini. Pengalamannya ternyata berbeza dengan tema-tema lain sebelum ini.

Buat para pemuzik, kugiran dan penyanyi yang aktif sekarang, selak sedikit sejarah tok nenek kita yang liar dan melawan pada dekad 60-an lalu.

Serap semangat mereka supaya kita juga berani melawan muzik antikreatif gila tular yang penuh dalam pasaran arus perdana sekarang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya