‘Biasalah Bersatu, Pas, semua salah DAP’

‘Biasalah Bersatu, Pas, semua salah DAP’

ANTHONY Loke Siew Fook bergambar bersama penyokong DAP selepas menyampaikan ceramah di Bilik Gerakan DAP Perlis di pekan Padang Besar, Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR : DAP tidak pernah meminggirkan agenda bumiputera ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara selama 22 bulan di sebalik pelbagai tohmahan dilontarkan kepada parti berkenaan.

Dalam masa sama, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook turut menafikan dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di laman Facebooknya mengenai DAP cuba mensabotaj agenda bumiputera.

Katanya, dakwaan tersebut tidak berasas dan seolah-olah cuba memperbodohkan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Biasalah Muhyiddin, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas semuanya salahkan DAP. Jangan lupa dia juga duduk di Kabinet yang sama semasa 22 bulan dulu jadi kerajaan dan adakah dia membenarkan kita (DAP) mensabotaj (agenda bumiputera).

“Semasa dalam Kabinet dahulu, ketika PH mentadbir, harus diingat bahawa Pengerusinya yang juga Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) adalah daripada Bersatu, malah beberapa menteri juga daripada Bersatu yang sama ramai dengan DAP.

“Jadi sudah tentu agenda bumiputera tidak dipinggirkan bersama-sama dalam agenda kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah di Bilik Gerakan DAP Perlis di pekan Padang Besar di sini hari ini.

Semalam, Muhyiddin menerusi Facebook miliknya mendakwa DAP cuba mensabotaj agenda Bumiputera ketika PH mentadbir negara selama 22 bulan.

Menurut Muhyiddin, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak memperuntukkan dana kepada Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) ketika itu.

Sementara itu, Anthony Loke mengingatkan Muhyiddin supaya tidak memperbodohkan rakyat dengan membuat kenyataan seolah-olah semuanya salah DAP.

“Jadi jangan memperbodohkan rakyat membuat kenyataan seolah-olah semuanya salah DAP dan mereka (Bersatu) tidak bertanggungjawab.

“Semua keputusan mesti melalui Kabinet yang dipengerusikan dan dipersetujui secara bersama, DAP jika bersendirian tak boleh buat apa-apa keputusan di peringkat Kabinet,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya