5 SOALAN
MUKADIMAH
TERKENAL sebagai seorang pemimpin yang lantang bersuara, DATUK NUR JAZLAN MOHAMED bukan asing dalam kancah politik negara.
Namun, anak Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat ini bukan sahaja mudah didekati, malah menjadikan khidmat kepada rakyat sebagai teras perjuangannya.
Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI dan jurugambar, RAJA JAAFAR ALI menemu bual Ketua UMNO Bahagian Pulai ini mengenai aspirasi dan harapan beliau sekiranya diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
UTUSAN: Sebelum ini Datuk pernah beritahu tidak akan bertanding pada PRU15, tetapi apakah faktor mendorong buat keputusan sebaliknya?
NUR JAZLAN: Benar, saya sudah maklumkan tidak akan bertanding, sebaliknya sedia memberi laluan kepada calon baharu. Tetapi sebagai orang parti, saya tidak boleh menolak apabila diminta bukan sahaja oleh kepemimpinan tertinggi parti, malah penduduk setempat yang merupakan pengundi Parlimen ini, termasuk dalam kalangan komuniti Cina, khususnya golongan peniaga. Situasi ini dibantu rekod perkhidmatan selama tiga penggal sebelum ini, dan rekod perkhidmatan tujuh penggal Allahyarham bapa, masyarakat di sini mahu saya kembali.
Apa penduduk tempatan khususnya pengundi di Parlimen Pulai boleh harapkan sekiranya mereka memberikan mandat kepada Datuk?
Saya mempunyai rekod perkhidmatan baik di Parlimen dan ia berbeza dengan pencabar saya. Sebagai contoh, calon Pakatan Harapan (PH) iaitu Datuk Seri Salahuddin Ayub, walaupun beliau penyandang kerusi Parlimen Pulai, namun pusat khidmat beliau seperti tidak beroperasi dan perkara ini berbeza dengan pusat khidmat saya di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat.
Pintu pusat khidmat ini sentiasa terbuka walaupun sepanjang tempoh saya tidak bergelar wakil rakyat sejak 2018. Ini turut dibantu dengan hakikat bahawa kerajaan negeri Johor merupakan kerajaan BN iaitu lantikan ketua kampung dan ahli majlis juga adalah individu yang rapat dan dekat dengan saya. Jadi saya percaya kerjasama baik antara ahli Parlimen dan pemimpin tempatan akan dapat memberikan manfaat lebih baik kepada penduduk setempat.
Selain isu tempatan, apakah isu-isu nasional yang akan diperjuang?
Selain mengangkat isu-isu lokal dan cabaran yang dihadapi oleh penduduk setempat di Parlimen ini, pastinya saya juga mahu meningkatkan kesejahteraan rakyat pada skala nasional selaku ahli Parlimen.
Antara isu perlu diberikan perhatian adalah memperbetul persepsi, khususnya generasi muda kaum Cina yang merasakan tidak mendapat layanan sama rata seperti kaum Melayu dalam aspek pendidikan, pekerjaan dan perniagaan sehingga perlu berhijrah ke luar negara.
Jadi kerajaan BN perlu memiliki satu naratif memperbetul persepsi tersebut.
Perbandingan BN dan PH serta PN?
BN tidak boleh ‘take things for granted’ lagi, sebaliknya perlu muhasabah diri dan perbaiki faktor-faktor berlakunya tsunami politik pada 2018.
Dalam suasana politik semasa, sudah tiada lagi keperluan untuk Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) kembali menjadi kerajaan. Sebaliknya, PH adalah lebih layak sebagai pembangkang jika dibandingkan BN. Jadi, lebih baik kita kembalikan situasi tersebut, iaitu biarlah BN mentadbir negara dan PH terus menjadi pembangkang yang efektif.
Datuk dikenali individu lantang bersuara, namun jika dipilih sebagai wakil rakyat, adakah sikap itu akan kekal?
Bagi mereka yang mengenali saya, secara peribadi saya akui individu yang vokal dan lantang bersuara berhubung sesuatu isu, dan saya tidak rasa perkara itu akan berubah walaupun selepas diberi mandat sekali lagi.
Masyarakat tahu saya bukan seorang individu yang mahu kejar pangkat dan kuasa.
Saya akan kekal lantang bersuara. Nur Jazlan akan kekal menjadi Nur Jazlan.