KOTA BHARU: Seorang anggota tentera bukan sahaja bertongkat malah sanggup menahan kesakitan semata-mata mahu mengundi bagi menjalankan tanggungjawab kepada negara di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, di sini hari ini.
Lans Koperal Mohamad Akmal Zaini, 30, mengalami kesakitan di bahagian kaki kiri dan tulang belakang semasa menjalani latihan untuk pertandingan Ujian Merentas Kemahiran dan Kawad pada 13 September lalu di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Mohamad Akmal berkata, ini merupakan kali kedua dia mengundi awal di Kem Desa Pahlawan sepanjang tujuh tahun bertugas di sini.
“Alhamdulillah saya puas dapat melaksanakan salah satu tanggungjawab pada negara walaupun berdepan kesakitan.
“Akibat kesan kecederaan ini, saya akan menjalani dua pembedahan pada bulan depan di Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Lumut, Perak,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Mohamad Akmal dan isteri, Hafizah Ramli, 30, yang sarat mengandung tiba untuk mengundi pada pukul 2.45 petang.
Sementara itu, Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Abu Hasan Assha’ari Kamis@Shaffiee turut hadir meninjau undi awal di Kem Desa Pahlawan. – UTUSAN