ALOR SETAR: Pas menyifatkan keadaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih ‘keruh’ hingga menyebabkan kedua-dua parti itu tidak dapat bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kes rasuah melibatkan kepemimpinan UMNO belum selesai dibicarakan dengan mereka yang mahu membuat perubahan pula dicantas.
“Individu yang bersih dan nak buat perubahan itu ada dalam UMNO tetapi malangnya dicantas dan tidak dipilih menjadi calon. Orang baik dicantas, cari yang penyangak. Macam mana kita nak berkawan dengan parti macam ini.
“Sebab itulah kami memilih Perikatan Nasional (PN) dan berilah kami peluang untuk satu penggal, tengok apa kami akan buat. Kalau kami buat tak betul, tolaklah kami dalam PRU akan datang,” katanya ketika berucap pada Program Makan Malam Bersama Presiden Pas di Kompleks Pas Pokok Sena, di sini, malam tadi.
Abdul Hadi berkata, sikap UMNO dilihat kembali ke perangai lama mereka setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri apabila kalangan pemimpinnya berkelahi sesama sendiri bagi merebut jawatan Timbalan Perdana Menteri, selain mahu memegang kementerian-kementerian tertentu.
“Bukanlah semua tetapi mereka ini nampak masih tak insaf walaupun dah kalah. Memang ada yang sedar dan nak buat perubahan dan kita pun ajaklah mereka buat perpaduan ummah yang turut menggabungkan umat Islam dan bukan Islam.
“Perpaduan itu bukan melibatkan UMNO dan Pas sahaja malah termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gerakan dan parti-parti lain tetapi tiba-tiba UMNO jumpa dan minta cuma libatkan Pas serta UMNO saja,” katanya.
Tambahnya, gabungan UMNO dan Pas semata-mata dilihat bukan bertujuan mewujudkan perpaduan sebaliknya semata-mata demi politik.
“Yang tak ada tujuan perpaduan, kita takkan terima. Masalahnya mereka bukan nak selamatkan rakyat dan negara sebaliknya nak dapatkan kuasa untuk bebaskan diri daripada masalah dihadapi termasuk kes-kes mahkamah,” katanya.
Mengulas mengenai pertemuannya dengan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini, Abdul Hadi berkata, UMNO bukan semata-mata meletakkan syarat untuk Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu, malah dilihat turut cuba mengatur kerusi tertentu melibatkan Pas.
“Mereka sebut dalam media, Pas nak jumpa dia padahal mereka yang nak jumpa kita. Tetapi tak apalah, kita bersedia dan dalam pertemuan turut dihadiri Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man itu, mereka beri syarat untuk putuskan hubungan dengan parti-parti lain terutamanya Bersatu, sekiranya mahukan kerjasama UMNO dan Pas.
“Dia boleh ‘perintah’ kita pula dan selepas itu, kerusi Pas di Pasir Putih, Kelantan perlu serahkan kepada dia dan ada juga tukar kerusi di sana sini termasuk Kubang Kerian serta Jerantut. Dia tukang atur kerusi kita pula,” katanya.
Disebabkan itu, katanya, Pas membuat keputusan untuk memilih PN dan bukannya MN memandangkan terdapat hal-hal yang sangat merumitkan. – UTUSAN