PERLIS yang mempunyai hampir 300,000 penduduk sebenarnya cukup istimewa dan demografinya di sempadan membuka lebih ruang kepada pelbagai peluang menjadikan negeri ini terus pesat membangun.
Sayang jika kesempatan tersebut tidak digunakan untuk menarik segala peluang yang ada untuk kemajuan di negeri ini sekali gus setanding dengan negeri-negeri pesat lain.
Selepas sekian lama, negeri ini dikuasai pemimpin-pemimpin lama khususnya di Parlimen Arau dan Padang Besar, penampilan calon muka baharu khususnya dari Barisan Nasional (BN) di ketiga-tiga Parlimen di Perlis diharap dapat memberi nafas baharu.
Sebelum ini, Perlis terlalu sinonim dengan nama Datuk Seri Shahidan Kassim di Parlimen Arau selama empat penggal selain pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar dan langkah BN mengetengahkan ahli perniagaan hebat, Datuk Rozabil Abd. Rahman di kawasan itu dijangka bakal memberi nafas baharu.

Malah gandingan calon muka baharu lain yang lebih muda dan cukup berpontensi di Parlimen Kangar dan Padang Besar juga diharap dapat membantu melonjakkan negeri ini.
Perlis mungkin tidak kaya dengan sumber seperti sesetengah negeri lain namun lokasi negeri ini yang bersempadan dengan Thailand perlu digunakan sebaik mungkin untuk kepentingan negeri dari pelbagai aspek.
Rozabil, 50, yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang perniagaan mungkin boleh menggunakan kepakaran beliau dalam membantu membawa pelabur-pelabur untuk melihat apa yang boleh di bawa ke negeri ini.
Meskipun Perlis kini semakin menjadi tumpuan pelancong berikutan perkembangan sektor tersebut yang semakin rancak namun kita sebenarnya masih tidak mempunyai hotel-hotel bertaraf lima bintang. Perkara itu juga sebenarnya boleh dipertimbangkan dilaksanakan di negeri ini.
Melihat kepada portfolio cemerlang Rozabil atau lebih mesra disapa Tok Ben yang mempunyai pengalaman sebagai Pengarah Eksekutif IRIS Corporation Berhad (2018-2019), Viztel Solution Berhad (2005-2008) dan kini sebagai Pengerusi Eksekutif Destini Berhad, beliau dilihat sesuai membantu membawa pembaharuan di Parlimen dan negeri ini.
Di Kangar, BN juga mempertaruhkan calon muka baharu cukup berpontensi iaitu Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya yang bakal memberi wajah dan aura baharu di kawasan berkenaan.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu juga cukup berpengaruh di peringkat pusat dan jika menang beliau mempunyai potensi cukup besar diketengahkan sebagai Menteri atau Timbalan Menteri sekali gus turut memberi kelebihan kepada negeri ini.
Mempunyai pendidikan tinggi, berlatar belakang agama yang baik selain mempunyai pengalaman luas sama ada di peringkat kerajaan, swasta, korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Fathul Bari juga wajar diberi peluang ke arah bersama-sama membawa pembaharuan di negeri ini seterusnya demi kesejahteraan rakyat Perlis.
Perlis juga menerima seorang lagi calon nama besar iaitu Datuk Zahida Zarik Khan di Parlimen Padang Besar. Beliau juga cukup berpengaruh di peringkat pusat dan berpotensi diketengahkan sebagai Menteri atau Timbalan Menteri.
Padang Besar yang terletak di sempadan mempunyai banyak ruang untuk dibangunkan sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada penduduk. Zahida diharap membantu menggunakan pengaruh yang ada untuk bersama membawa pembaharuan di situ.
Gandingan tiga pemimpin tersebut jika diberi peluang akan menjadi pelengkap dalam turut sama membantu kerajaan negeri demi membawa Perlis ke arah jauh lebih baik.
Dalam pada itu, langkah Perikatan Nasional (PN) mengenengahkan Shahidan di Parlimen Arau mungkin baik daripada segi mendapat sokongan kepada parti namun ke arah pembaharuan ia dilihat tidak membantu. – UTUSAN