SHAH ALAM : Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyeru kesatuan sekerja di Malaysia menyuarakan pembelaan terhadap nasib pekerja Palestin yang ditindas di Israel.
Menurut Presidennya, Mohd.Azmi Abdul Hamid, sejak penjajahan Israel pada tahun 1967 ke atas Tebing Barat dan Gaza Palestin , Israel telah mewujudkan situasi warga Palestin berada dalam keadaan ekonomi tertekan dan mereka bergantung kepada Israel.
“Penjajahan Israel ke atas Palestin itu telah diguna oleh Israel untuk menjadikan pasaran buruh Palestin diekploitasi di pelbagai sektor ekonomi di Israel.
“Israel mendapat dua sumber pekerja Palestin. Pertama warga Palestin yang berada di dalam Israel sebagai rakyat dan kedua ialah pekerja Palestin dari kawasan yang ditakluki oleh israel dari pendudukan haram ( illegal settlement ) di Tebing Barat dan dari Gaza,”katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Jelutong, baru-baru ini.
Mohd. Azmi menegaskan, kedua-dua sumber pekerja tersebut telah dieksploitasi oleh majikan- majikan di Israel .
Katanya lagi, pekerja Palestin yang tidak ada pilihan terpaksa bekerja dalam keadaan mereka ditindas dan hak pekerja dinafi sama sekali.
“Terutama pekerja Palestin yang bekerja membangunkan rumah dan prasarana pendudukan haram oleh fanatik Yahudi diatas tanah Palestin yang dirampas itu sendiri. Pekerja Palestin telah dieskploitasi sepenuhnya oleh majikan Israel.
“Ekonomi kebergantungan Palestin yang sangaja dibangunkan oleh Israel keatas kawasan Palestin yang ditakluki , menyebabkan pekerja Palestin menjadi mangsa kepada Israel yang melanggar seluruh undang-undang pekerja antarabangsa , konvensyen ke-4 Geneva dan hak asasi manusia,”katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, pekerja Palestin yang sukar mendapat permit kerja di Israel tidak dapat membawa kes penindasan di mahkamah Israel kerana dikhuatiri akan dibuang kerja.
Jelasnya lagi, penaklukan oleh Israel telah mewujudkan situasi ekonomi bergantung Palestin kepada Israel.
“Ini bertentangan dengan Artikel 49 selaras dengan Artikel 51 dan 52 dalam Konvensyen ke 4 Geneva 1949 dan prinsip prinsip undang-undang antarabangsa .
“Akibatnya , pekerja Palestin adalah rentan kepada polisi haram oleh Israel. Pekerja Palestin terpaksa menerima apa sahaja persekitaran kerja dan dimana sahaja tempat kerja di Israel demi kelangsungan hidup mereka,” katanya.
Lebih malang katanya lagi, Israel tidak terikat kepada apa -apa syarat mengenai hak ekonomi, sosial, dan budaya (ESCR) atau apa sahaja standard hak asasi manusia.
Israel juga jelasnya, tidak terikat kepada undang-undang melindungi pekerja Palestin dari diskriminasi ras berdasarkan Convention on the Elimination of all Forms of Racial Discrimination (CERD) di Wilayah Palestin yang ditakluki oleh Israel.
“Puluhan ribu pekerja Palestin di Israel kini mengalami penindasan yang sangat ekstrim oleh majikan Israel dan tiada mana-mana agensi dunia menyuarakan nasib mereka.
“Mapim telah mengambil inisiatif mengujudkan Jaringan Pekerja Malaysia Bersolidariti bersama Palestin dan Al Quds. Tujuannya ialah untuk mewujudkan sebuah saluran perhubungan pekerja Malaysia untuk menjalinkan hubungan dengan pekerja Palestin.
“Sebuah persidangan akan diadakan di Istanbul pada 20 – 21 Disember ini mengenai pekerja Palestin. Mapim mengharapkan wakil MTUC dapat hadir bersama,”ujarnya. –UTUSAN