KUALA LUMPUR: Kerusi Parlimen Batu didakwa adalah kubu buat bagi Barisan Nasional (BN) dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kawasan tersebut akan kembali ke pangkuan BN.
Calon daripada BN bagi Parlimen Batu, Datuk Kohilan Pillay berkata, parlimen tersebut akan kembali kepada partinya yang sebelum ini dirampas oleh Pakatan Harapan (PH) selama tiga penggal.
Menurut beliau, selama jangka masa tersebut pelbagai masalah timbul yang dihadapi oleh rakyat di kawasan Batu, namun tiada penyelesaian diberikan oleh wakil rakyat ketika itu.
“Sebenarnya, saya nak beritahu bahawa Batu adalah kubu kuat BN. Hanya tiga penggal yang lalu di bawah oleh PH.
“Saya rasa rakyat pun sudah faham tiga penggal tersebut banyak masalah yang sudah timbul dan tidak ada penyelesaian. Sebab itu kita mahu sebuah kerajaan yang stabil dan boleh membawa pembangunan di kawasan ini, adakah kita mahu terus hidup seperti ini?” katanya ketika ditemui pemberita di program ziarah kasih beliau di PPR Batu Muda.
Semasa PRU14, P. Prabakaran yang bertanding sebagai calon bebas sebelum menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi kerusi parlimen tersebut dengan jumlah majoriti undi sebanyak 24,438.
Manakala, dua penggal sebelum ini kerusi Parlimen Batu diduduki oleh bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua.
Bagi PRU15, Parlimen Batu menyaksikan pertembungan bebas iaitu antara Kohilan (BN), Prabakaran (PH), Azhar Yahya (PN), Mohd. Zulkifli Abdul Fattah (PRM), Wan Azliana Wan Adnan (Pejuang), Naganathan Pillai (Warisan), Siti Zabedah Kasim (Bebas), Tian Chua (Bebas), Too Gao Lan (Bebas) dan Nur Fathiah Syazwana (Bebas).
Mengulas lanjut, Kohilan memaklumkam bahawa beliau sudah melakukan perjumpaan dengan masyarakat daripada pelbagai kaum dan mendapat respon yang positif.
“Program jelajah kasih yang kami adakan ini adalah untuk pergi daripada rumah ke rumah untuk mendengar masalah rakyat dan akan mencari penyelesaian kemudian.
“Saya percaya dengan satu kestabilan yang kuat maka semua projek-projek seperti tempat letak kereta dan sekolah baharu ini dapat dilaksanakan oleh BN,” katanya. – UTUSAN