Batal hasrat berkelah di lokasi air terjun - Utusan Malaysia

Batal hasrat berkelah di lokasi air terjun

SUASANA sunyi tanpa kehadiran pengunjung di kawasan rekreasi Lata Ulu Kekabu, Setiu, selepas kejadian kepala air, semalam. - FOTO/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Orang ramai dinasihatkan untuk membatalkan hasrat berkelah atau bermandi-manda di lokasi air terjun dan kawasan rekreasi di negeri ini bagi mengelak kejadian buruk seperti fenomena kepala air.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, pengunjung perlu lebih peka dengan cuaca yang tidak menentu ketika ini yang menyebabkan berlaku  bencana buruk. 

Menurutnya, sikap tidak ambil peduli dan degil segelintir pengunjung boleh mendatangkan bahaya malah mengakibatkan maut jika terjadi perkara tidak diingini.

“Sekarang bukan masa yang sesuai untuk sebarang aktiviti riadah atau sosial di lokasi air terjun atau sungai kerana cuaca buruk ditambah hujan lebat yang berisiko tinggi berlaku kepala air.

“Kadang-kadang kita lihat cuaca cerah tetapi hujan lebat boleh datang secara tiba-tiba. Kepala air ini kalau datang akan ‘sapu’ semua yang berada di laluan sungai sekaligus membahayakan nyawa,” katanya.

Wan Rukman berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika meninjau kelancaran proses penamaan calon Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom di sini, hari ini.

Semalam, sembilan mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kejadian kepala air di Lata Ulu Kekabu dekat sini.

Dalam kejadian pada pukul 5 petang, kesemua mangsa berjaya diselamatkan anggota penyelamat dengan menggunakan tali dan jaket keselamatan.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi berkenaan hari ini mendapati suasana sunyi tanpa kehadiran pengunjung yang datang selain cuaca mendung sejak awal pagi ini.

Seorang buruh binaan yang bekerja berdekatan, Zariza Awang, 47, dia sering melihat ramai pengunjung datang ke Lata Ulu Kekabu untuk bermandi-manda setiap hari terutama pada hujung minggu.

Keadaan itu katanya agak menghairankan kerana menyangka kesemua taman eko-rimba dan rekreasi di negeri ini telah ditutup ekoran cuaca buruk dan peralihan musim monsun timur laut (MTL).

“Namun sejak kejadian semalam, tiada langsung kenderaan masuk ke kawasan ini kecuali jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang mungkin membuat pemantauan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya