KUALA LUMPUR: Banjir kilat melanda beberapa kawasan di sekitar ibu negara ekoran hujan lebat berterusan petang ini.
Menurut Pusat Info Trafik dan Kawalan Lampu Isyarat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC DBKL), beberapa kawasan sekitar pusat bandar ini menjadi lokasi air bertakung.
“Berhati-hati memandu, jalan licin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Hantaran sama memaklumkan, antara kawasan yang terjejas adalah Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Kuching dan Jalan Traves.
Dalam pada itu, KLCC DBKL memaklumkan, beberapa kawasan di sekitar ibu negara turut dilaporkan sesak.
Antara kawasan yang terlibat ialah Jalan Klang Lama, Jalan Kinabalu, Jalan Kuching, Jalan Sg. Besi, Jalan Tun Razak dan Lebuhraya Mahameru. – UTUSAN