PETALING JAYA: Nurul Izzah Anwar tampil mengucapkan tahniah kepada bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 hari ini.
Katanya, selepas 24 tahun diuji dengan pelbagai dugaan dan cabaran, bapanya akhirnya mendapat pembelaan sewajarnya.
“Yang pasti, sejak 1998 sehingga saat ini, adalah kewajipan untuk kita berpegang terus kepada garis batas perjuangan, menuntut keadilan bukan untuk diri kita, tetapi sebagai pemangkin kepada perlindungan untuk semua.
“Saya sayang Papa, sentiasa bangga dengan Papa walaupun dipenjara sebagai banduan politik.
“Legasi yang kita tinggalkan untuk anak-anak dan generasi masa depan bukannya harta, pangkat mahupun wang ringgit, tetapi idealisme dan prinsip perjuangan yang tidak boleh dijual beli.
“Jadikan masa depan, masa kita bersama. Insya-Allah,” katanya dalam media sosial.
Bagaimanapun katanya, beliau enggan terlalu gembira dengan kejayaan bapanya sebaliknya tugas berat tetap menanti.
“Usaha menyatu padukan teman-teman senegara, meneliti masalah ekonomi yang membelenggu, menarik pelaburan menerusi ransangan ekonomi dan bakat tempatan, dan membina ummah serta bangsa yang berteraskan keadilan sosial dan kenegaraan yang jitu,” katanya. – UTUSAN