Bahasa Melayu perlu dimartabat seiring perkembangan digital

Bahasa Melayu perlu dimartabat seiring perkembangan digital

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) berkenan menyaksikan simbolik penyerahan van jenazah kepada jawatankuasa Masjid Al-Mursyid Pauh Guring, Arau, Perlis.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Usaha bagi mengangkat martabat bahasa dan sastera Melayu perlu diperkasakan secara berterusan selaras dengan perkembangan era digital yang semakin meluas dan berkembang pesat pada masa kini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penulis dan penerbit di negara ini juga seharusnya bergerak seiring dengan peredaran zaman dalam mengukuhkan pemerkasaan bahasa Melayu pada era digital ini.

Titah baginda, landskap baharu dalam perkembangan era digital sewajarnya digunakan dengan tahap semaksima mungkin dalam membawa bahasa dan sastera Melayu ke mercu yang lebih baik. 

“Keindahan bahasa atau sastera Melayu perlu digunakan sepenuhnya walaupun kita kini berada pada zaman sains dan teknologi yang pesat membangun. 

“Bahkan ia seharusnya menjadi ikonik dalam menghadapi era globalisasi yang semakin rencam,” titah baginda selepas berkenan berangkat menyaksikan simbolik penyerahan van jenazah yang diwakafkan oleh Syarikat Tradewinds International melalui Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sini hari ini.

Penyerahan van jenazah itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor kepada Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Mursyid Pauh Guring, Syed Abu Bakar Syed Kamal Bharin Jamalullail.

Dalam program sama, Tuanku Syed Faizuddin selaku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyerahkan sumbangan berjumlah RM21,000 kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid itu untuk diagihkan melalui amilnya, Ku Mat Isa Ku Ismail.

Dalam perkembangan sama, Tuanku Syed Faizuddin turut menitahkan agar usaha bagi memartabatkan bahasa Melayu perlu disokong oleh segenap lapisan.

“Pelbagai usaha di peringkat antarabangsa juga dilaksanakan untuk mengembalikan bahasa Melayu sebagai Bahasa supranasional, iaitu bahasa serantau dan bahasa antarabangsa, seperti mana pada zaman kegemilangan kerajaan Kesultanan Melayu suatu ketika dahulu,” titahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya