KOTA KINABALU: Bahan kempen calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) P.172 Kota Kinabalu, Yee Tsai Yiew dirosakkan dipercayai akibat perbuatan khianat.
Terdapat lebih 100 bendera, poster dan banting calon dipatahkan, dikoyak dan diconteng oleh individu tidak bertanggungjawab.
Tsai Yiew melahirkan kekesalan terhadap tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang merosakkan bahan kempen yang dipasang sekitar pusat bandar raya ini.
“Saya berasa sangat kecewa dengan tindakan orang yang tidak bertanggungjawab ini. Namun, saya anggap ia satu cabaran ketika berkempen.
“Kejadian ini tidak sedikit pun mematahkan semangat saya dan jentera parti untuk meneruskan kempen pada Pilihan Raya ke-15 (PRU-15).
“Kita kena matang dalam berpolitik dan biarlah pihak yang berwajib mengambil tindakan susulan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, insiden itu telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan tindakan susulan akan diambil.
Kerusi Parlimen Kota Kinabalu menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Tsai Yew, Amanda Yeo Yan Yin mewakili Parti Warisan (Warisan), Winston Liaw Kit Siong dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Chan Foong Hin dari Pakatan Harapan (PH) dan Marcel Jude (Bebas). UTUSAN