Bahan buangan terjadual dibuang sejak beberapa hari lalu - Utusan Malaysia

Bahan buangan terjadual dibuang sejak beberapa hari lalu

ROSLI Zul menunjukkan longgokan tong berisi cecair bahan buangan terjadual yang ditemukan di kawasan lapang di Kampung Kepayang, Simpang Pulai di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Longgokan 33 tong berisi cecair bahan buangan terjadual yang ditemukan di kawasan lapang di Kampung Kepayang, Simpang Pulai di sini semalam, dipercayai dibuang secara haram sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Rosli Zul berkata, ia berdasarkan pemerhatian terhadap bau dan tindak balas bahan tersebut dengan persekitaran.

“Berdasarkan maklumat pengadu, tong berisi cecair bahan buangan terjadual itu dipercayai telah dibuang di kawasan ini dalam tempoh seminggu. Bagaimanapun, melihat kepada bau yang kuat dan tindak balas bahan tersebut kepada persekitaran, kita jangka (dibuang) dalam sehari ke dua hari lalu,” katanya ketika ditemui di tapak pembuangan bahan tersebut di sini hari ini.

Menurut beliau, sampel bahan terjadual itu telah dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis sekali gus memastikan proses pemindahan bahan tersebut selamat kepada petugas.

Katanya, keputusan proses analisis itu dijangka diperoleh dalam masa terdekat.

“Hari ini apabila kita sampai di lokasi, terdapat bau yang tidak menyenangkan tetapi setempat sahaja dan tidak sampai ke kawasan sensitif. Malah, dari segi pemantauan kualiti udara dan pengukuran di kawasan kediaman berhampiran, setakat ini menunjukkan bacaan setempat dan tidak melibatkan kawasan sensitif yang berdekatan.

“Dalam konteks ini, keadaan adalah selamat, namun untuk kerja-kerja pembersihan dan pemindahan, kita perlu mendapatkan maklumat untuk mengenal pasti kandungan bahan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, proses pembersihan dan pemindahan bahan itu akan dijalankan segera berikutan tidak mahu memberi risiko kepada orang ramai termasuk pegawai penyiasat JAS, polis dan bomba.

“Berdasarkan pemerhatian, cecair jernih itu mempunyai tindak balas dengan air apabila ia mengeluarkan asap. Kita tiada petunjuk kerana dari segi fizikal, ia bukan sisa tetapi lebih kepada produk dan kita tidak tahu kenapa diletakkan di sini kecuali ia sudah tamat tempoh,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya telah mengambil keterangan seorang lelaki berusia 47 tahun selepas ditemukan bersama sebuah lori bermuatan 13 tong kosong di lokasi kejadian semalam.

“Keterangan awal telah diambil dan lelaki tersebut dilepaskan dengan jaminan. Kes disiasat mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya