GOMBAK: “Tak apalah, dia boleh cakap dapat sekongan besar. Saya pun boleh cakap begitu. Cuma bagi dia, yang penting adalah jawatan bukan perkhidmatan.”
Itu jawapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila ditanya berhubung dakwaan Pengerusi Perikatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa parti itu sedang jauh mendahului sokongan pengundi berbanding parti lain.
Muhyidin berkata, pengundi seharusnya mampu membuat pertimbangan bijaksana dan menolak pihak yang hanya bercakap soal kepentingan diri berbanding rakyat.
“Ada lima hari lagi, dia tidak boleh dabik dada. Saya juga sudah jelaskan panjang lebar apa yang PN tawarkan dan perjuangkan.
“Bagi dia itu tidak penting. Belah sana (PH) tidak sebut pun. Yang penting jawatan dia. Bagi saya bukan jawatan tetapi perkhidmatan.
“Kita mahu beri perkhidmatan terbaik untuk bawa Malaysia kembali ke landasan prihatin, bersih dan stabil,” ujarnya.
Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri kelapan itu berkata, PN ketika ini mendapat sokongan Melayu yang cukup besar tetapi mereka tidak boleh terlalu selesa dan terus berusaha untuk meraih undi kaum lain.
“Kita sudah menilai dan mengkaji sentimen rakyat terhadap PN. Majoriti Melayu memberi sokongan terhadap PN.
“Cuma dalam tempoh beberapa hari lagi ini, kami perlu berusaha lebih untuk meraih undi daripada kaum-kaum lain, Sabah Sarawak juga.
“Apa yang kami harapkan sokongan pengundi terhadap kami untuk melaksanakan setiap tawaran dan manifesto yang diumumkan,” katanya. –UTUSAN