GOMBAK: “Saya yakin berdasarkan usaha yang dilakukan sedaya upaya, insya-Allah rakyat akan kekal bersama saya untuk terus bangunkan Gombak.”
Itu kenyataan Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas selesai mengundi di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Klang Gate di sini.
Azmin berkata, secara keseluruhan, sambutan rakyat terhadap PN sangat meyakinkan selepas mereka melihat pencapaian yang diraih dalam tempoh singkat.
“Saya percaya, rakyat mahukan kerajaan stabil dan kuat untuk menjamin masa depan negara. Kami juga akan lakukan yang terbaik.
“Saya yakin, proses pilihan raya akan berlangsung baik. Walaupun cuaca mendung, saya yakin proses ini akan disempurnakan dengan baik,” katanya.
Azmin yang juga penyandang kerusi selama tiga penggal itu tiba bersama isterinya Datin Seri Shamsida Taharin pukul 8.35 pagi sebelum membuang undi.
Mengenakan baju batik, Azmin berdepan anak didiknya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mewakili Pakatan Harapan (PH), calon Barisan Nasional (BN), Datuk Megat Zulkarnain Omardin, calon Gerakan Tanah Air (GTA), Jamaludin Mohd Tahir serta seorang calon bebas, Zulkifli Ahmad. – UTUSAN