Azlan jumpa Anwar video lama sengaja dijadikan modal 

Azlan jumpa Anwar video lama sengaja dijadikan modal 

AZLAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man mengakui pernah berjumpa dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti penularan klip video di beberapa laman sosial sejak kebelakangan ini.

Namun begitu, Azlan berkata, klip tersebut adalah video lama iaitu sewaktu PH memegang tampuk pemerintahan negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurut Azlan, Anwar ketika itu mengajak beliau makan bersamanya bagi membincangkan perihal pentadbiran kerajaan negeri memandangkan Presiden PKR itu mendakwa bakal mengambil alih kepemimpinan kerajaan selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatan. 

“Memang saya pernah jumpa Anwar selepas diminta oleh beliau pada tahun 2018. Masa itu kita pembangkang dan beliau juga kata akan menjadi Perdana Menteri selepas Dr. Mahathir melepaskan jawatan.

“Dia (Anwar) kata kalau tak nak susah kena bersama mereka (PH) tapi saya tak cakap apa-apa pun, hanya pergi makan sahaja,” katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong malam tadi.

Terdahulu, satu klip video berdurasi 12 saat tular di media sosial memaparkan Azlan sedang menjamu selera bersama Anwar dan beberapa pimpinan PH antaranya seperti Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam pada itu, Azlan berkata, beliau tidak akan sesekali mengkhianati parti dan masih istiqamah bersama UMNO dan BN.

“Saya kenal Anwar sewaktu dia menjadi Timbalan Perdana Menteri lagi malah beliau juga pernah melawat pejabat saya sewaktu bertugas di New York sebelum ini.

“Kenapa nak dijadikan isu, saya tak pernah tukar parti dan kekal bersama BN. Saya terpaksa jumpa sebab mereka adalah kerajaan Persekutuan ketika itu,” katanya.

Tambahnya, walaupun berbeza agenda dan fahaman politik, beliau perlu berjumpa Anwar ketika itu bagi menjalinkan kerjasama memandangkan mereka adalah parti pemerintah pada waktu itu.

“Banyak kelulusan perlu diperolehi bagi membolehkan projek tertentu dilaksanakan di Perlis dan tidak sewajarnya perkara ini dijadikan isu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya