BALING: ‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah Azeez Rahim pada hari jadinya’.
Itulah yang dilaungkan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim setiap kali bertemu pengundi sehingga ke hari pengundian hari ini.
“Saya mengharapkan keajaiban sempena hari kelahiran saya ke-56 yang jatuh pada hari ini, 19 November. Semoga Allah berikan kemenangan kepada saya sebagai calon BN dan kesemua calon-calon BN yang bertanding pada PRU15.
“Sebelum penamaan calon baru-baru ini, saya berkesempatan menunaikan umrah dan berdoa agar tarikh PRU15 jatuh pada 19 November. Alhamdulillah, Allah makbulkan,” katanya ketika ditemui, hari ini,
Beliau dan isteri, serta anaknya tiba tepat pukul 10 pagi untuk mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Abu Bakar, Kupang.
Menurutnya, setelah lebih 27 tahun menjadi pemimpin di Baling, tiada apa yang diharapkan daripada pengundi di kawasan itu, melainkan mahu terus sentiasa bekerja keras demi memakmurkan dan memajukan serta menjaga kebajikan rakyat Baling.
“Namun, kali ini saya mohon dengan seikhlas hati daripada pengundi, berilah hadiah kepada saya sempena dengan tarikh keramat kelahiran saya yang jatuh pada tarikh PRU15 ini, tuah ayam nampak di kaki, tuah Azeez Rahim pada hari jadi,” katanya. –UTUSAN