KOTA KINABALU: Isu daerah termiskin di Sabah akan diselesaikan dengan kadar segera sekiranya Pakatan Harapan (PH) diberi mandat untuk memerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu mengenai 20 daerah termiskin di Malaysia sengaja dibangkitkan olehnya di Dewan Rakyat bagi mengingatkan kepada pemimpin yang mementingkan kekayaan diri sendiri.
“Banyak daerah termiskin di Sabah, kalau saya jadi Ketua Menteri malu muka saya. Sebagai pemimpin Sabah tidak kira Bersatu, UMNO mahupun GRS, malu apabila negeri kita mempunyai banyak daerah paling miskin sedangkan diri sendiri kaya, naik kereta besar dan orang tabik hormat, apakah jenis pemimpin sebegini?
“Saya sengaja baca di Parlimen senarai daerah termiskin, sebab itu bila kita perintah insya-Allah 20 November ini, tak payah kata Sabah, mana daerah termiskin majoriti di Sabah atau Kelantan mahupun Sarawak, kita mesti selesaikan dengan secepat mungkin.
“Isu orang miskin di Sabah adalah masalah nasional bukan masalah Sabah sahaja begitu juga, isu sekolah teruk di Sabah, ia masalah negara yang mesti diselesaikan oleh pemimpin negara ini,” katanya semasa Program Jelajah Mega Harapan Sabah di Tuaran semalam.
Beliau turut mengingatkan rakyat Sabah agar tidak terpedaya dengan sentimen negeri yang dimainkan oleh parti-parti kecil.
Katanya, pilihan raya kali ini adalah mengenai negara untuk memilih kerajaan Persekutuan jadi undian terhadap parti-parti kecil di Sabah tidak akan membawa aoa-apa perubahan.
“Parti-parti kecil boleh pecahkan undi pembangkang tapi, mereka tidak boleh deliver. Kami (PH) boleh menang kerajaan Persekutuan untuk Sabah dan Sarawak.
“Maka, jangan terikut dengan sentimen negeri. Kita kena ingat sokong parti yang bagi pecah-pecah (undi) ini akhirnya beri kemenangan kepada pihak sebelah sana (kerajaan).
“Kita kena pastikan kita kuat dan bersatu kerana setiap undi bermakna. Kita ada pilihan sama ada mahu Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan.
“Kalau mahu PH (memerintah), tolak PN dan BN serta semua parti-parti kecil yang lain sebab mereka tidak boleh bentuk kerajaan, Pakatan Harapan ada harapan untuk menubuhkan kerajaan,” katanya. –UTUSAN