Anwar yakin dapat majoriti, serah Agong tentukan

PH yakin dapat majoriti, serah Agong tentukan

ANWAR Ibrahim dalam sidang akhbar bagi mengumumkan PH cukup sokongan untuk membentuk kerajaan selepas PRU15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) yakin gabungan itu mempunyai cukup kerusi untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PH memperoleh lebih 111 kerusi yang turut disertai ahli-ahli Parlimen lain yang setuju untuk bekerjasama.

Katanya, kerjasama itu telah disertakan dengan dokumen perjanjian dan ia akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat.

“Tidak ada parti yang peroleh majoriti mudah, PH adalah blok terbesar setakat ini dan kita memerlukan beberapa proses perbincangan.

“Saya dimaklumkan kami sudah capai persefahaman dan persetujuan untuk bentuk kerajaan apabila diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Kita memperoleh jumlah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Grand Dorsett di sini hari ini.

Namun, Anwar yang juga Presiden PKR tidak mendedahkan butiran perbincangan dengan pihak mana bagi membentuk kerajaan selain menyatakan beliau mempunyai jumlah majoriti yang cukup.

Ketika ini, keputusan tidak rasmi setakat pukul 4 pagi, PH memperolehi sebanyak 81 kerusi Parlimen manakala, Perikatan Nasional (PN) 73 kerusi.

Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan PN mengalu-alukan mana-mana parti yang bersedia menerima prinsip gabungan itu, untuk membentuk kerajaan yang bersih dan stabil, pasca PRU15.

Muhyiddin juga berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan pimpinan parti dari Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat.

Ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Muhyiddin itu, Anwar berkata, mustahil PN mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan ketika ini memandang PH merupakan blok terbesar. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya