PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Bangunan Perdana Putra, di sini bagi memulakan tugasnya secara rasmi di Pejabat Perdana Menteri.
Beliau tiba di sini, kira-kira pukul 9.52 pagi dengan menaiki kenderaan jenis BMW diiringi beberapa kenderaan pengiring polis.
Ketibaan Anwar disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali; Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara.
Anwar dijadualkan memulakan tugasnya pagi ini dan mengimbas kad perakam waktu sebelum memasuki pejabatnya.
Sejurus selesai mengimbas kad perakam waktu, Anwar, 75, terus bergerak ke ruang pejabat Perdana Menteri untuk menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas.
Terdahulu, Anwar yang berpakaian baju Melayu warna merah jambu sempat menurunkan tingkap kenderaan dan melambai ke arah sekumpulan pengamal media di pintu masuk ke bangunan berkenaan.
Lebih 50 pengamal media termasuk wartawan, jurugambar dan juruvideo pelbagai agensi dan portal media cetak dan elektronik sudah menunggu seawal pukul 7 pagi bagi merakam detik bersejarah itu.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, petang semalam.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, di sini, pada pukul 5.06 petang semalam. – UTUSAN