Anwar sedia dedah penyata kewangan PKR  - Utusan Malaysia

Anwar sedia dedah penyata kewangan PKR 

ANWAR Ibrahim berucap pada ceramah mega Ayuh Malaysia di tapak parkir pangsapuri Danau Kota.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau bersedia mendedahkan penyata kewangan parti seperti dicabar Tan Sri Muhyiddin Yassin.  

Bagaimanapun Anwar berkata, perkara itu hanya akan dilakukan sekiranya Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga tampil mendedahkan penyata kewangan gabungan parti itu.

Malah Anwar turut mencabar Muhyiddin untuk turut sama mendedahkan kekayaan yang dimilikinya di dalam dan luar negara.

“Bila kata PN kaya dan mempunyai wang yang banyak, beliau (Muhyiddin) kata PKR juga harus dedah akaunnya.

“Saya selaku Presiden PKR sedia mendedahkan penyata kewangan parti jika anda juga berbuat demikian.

“Beliau juga perlu dedahkan kekayaan di Malaysia dan luar negara,” katanya dalam ceramah mega Ayuh Malaysia di pangsapuri Danau Kota, di sini malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.  

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu mencabar Anwar untuk menunjukkan penyata kewangan partinya selepas menuduh PN sebagai parti politik terkaya ketika ini.  

Muhyiddin turut mencabar Anwar mengemukakan bukti berkenaan dakwaan tersebut.

Selasa lalu, Anwar mendakwa PN menjadi parti politik paling kaya ekoran banyak memperoleh projek bernilai berbilion ringgit ketika tempoh pandemik Covid-19.  

Dakwa Anwar, semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri ketika itu, banyak projek dikeluarkan tanpa tender kepada pihak tertentu.

Sementara itu Anwar berkata, beliau berharap agar calon PH Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan dapat mempertahan kerusi Parlimen itu yang merupakan kubu kuat PKR. 

“Beliau harus menang dengan bergaya kerana kerusi Parlimen ini merupakan kubu kuat PH,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya