KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri yang baharu.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau merafakkan setinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah yang telah memperkenankan pelantikan itu.
“Saya mendoakan Kerajaan baharu ini dapat meneruskan kestabilan politik serta mengekalkan kemampanan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar sah diumumkan sebagai Perdana Menteri ke-10 menerusi satu kenyataan Istana Negara.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, keputusan itu dibuat setelah mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh Keluarga Malaysia dan keluarga penjawat awam, terutama petugas barisan hadapan yang telah bersama-sama beliau pada selama ini.
“Saya amat menghargai sokongan Keluarga Malaysia dalam membantu pentadbiran saya, dalam mendepani cabaran dan memastikan Malaysia terus berada di landasan pemulihan kesihatan, politik dan ekonomi,” katanya. –UTUSAN