IPOH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan amanat terakhir kempen Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Tambun di sini pada 18 November ini.
Presiden PKR itu berkata, Tambun dipilih sebagai tempat menyampaikan amanat terakhir PH berbanding Putrajaya kerana Tambun bakal dijadikan markas dan pusat gerakan baharu Malaysia.
“Saya diminta untuk berada di Putrajaya pada malam 18 November akan datang untuk membuat ucapan penutup tetapi saya kata tak boleh.
“Saya akan buat ucapan penutup bagi seluruh negara di Tambun,” katanya dalam satu ceramah di sini semalam.
Menurutnya, pada malam itu ramai kenalannya yang terdiri daripada pelabur-pelabur asing dari luar negara akan datang ke Tambun untuk menyaksikan Amanah Terakhir kempen PH PRU15.
“Oleh itu, Tambun boleh dikenali di mata dunia sekaligus masuk peta dunia. Dalam Amanat itu, saya akan menyebut soal tadbir urus negara yang baik. Itu yang penting.
“Jadi ahli parlimen sahaja tak cukup, jadi Perdana Menteri pun tak cukup. Kena ubah,” katanya.
Menurut Anwar, sebelum bertanding beliau berbincang dengan Presiden Turki untuk bekerjasama untuk mengangkat ekonomi Malaysia.
“Ini berfokus kepada Teknologi Digital dan Artificial Intelligence khususnya untuk anak-anak muda yang berminat,” katanya.
Sementara itu, program Tambun Berselawat dimeriahkan lagi dengan persembahan artis terkenal iaitu Datuk Afdlin Shauki, Datuk Awie Wings, Ejam Medicine, Aris Ariwatan dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi. – UTUSAN