IPOH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan pernah ditawar jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau mendakwa, tawaran itu diterima pada tahun 1998 sebelum Anwar dipecat daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas bergaduh dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri ketika itu.
“(Ketika itu) saya tidak berpuas hati jadi Menteri Belia dan Sukan, jadi dia (Anwar) minta saya sabar dan tunggu.
“Dia beritahu Dr. Mahathir akan berhenti (melepaskan jawatan) dan beliau akan menjadi Perdana Menteri manakala saya pula timbalannya,” katanya ketika berucap pada program Jelajah PN Best Tambun di pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, di sini semalam.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan Menteri Besar Kedah yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Menurut Muhyiddin, Anwar sekali lagi ada menyebut perkara itu selepas beliau menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri ketika kunjungan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu ke pejabatnya.
“Saya beritahu dia, sudahlah. Sekarang saya adalah Perdana Menteri. Dia tidak akan menjadi Perdana Menteri selagi dia berkawan dengan DAP.
“Saya beritahu juga yang orang Melayu akan tolak dia kerana bersama-sama dengan DAP. Saya bercakap terus-terang dan hari ini kita nampak dia masih di situ (bersama DAP),” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Anwar mungkin berdepan situasi sukar untuk memimpin negara sekiranya dilantik menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ini kerana katanya, Anwar sudah 20 tahun meninggalkan pentadbiran kerajaan dan bukan mudah untuk beliau mentadbir dalam keadaan dasar yang kini berbeza.
“Betul, dia masih boleh menjadi Perdana Menteri, itu saya tidak nafikan, tetapi kalau sudah 20 tahun meninggalkan pentadbiran kerajaan, saya fikir ia agak sukar.
“Ini kerana beliau harus memahami segala dasar dan tindakan (kerajaan yang terkini). Kalau tidak ada pengalaman-pengalaman tertentu untuk menguruskan negara, kita mungkin berhadapan dengan risiko besar,” katanya. – UTUSAN