IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menunaikan semua perkara yang beliau janjikan kepada rakyat selepas sah bergelar Perdana Menteri Ke-10, kelmarin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu penting untuk membuktikan beliau seorang pemimpin menepati kata-katanya.
“Anwar lama dalam politik, beliau pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, berpengalaman dalam beberapa kementerian dan agak lama menjadi pembangkang serta ketua pembangkang.
“Banyak janji yang dia janjikan, ada banyak perkara yang beliau berhasrat hendak lakukan kalau menjadi Perdana Menteri.
“Jadi saya harap beliau dapat tunaikan segala janji, sebab ini penting. Sebagai pemimpin apatah lagi Perdana Menteri mesti dapat membuktikan beliau adalah orang yang menunaikan janji.
“Seterusnya dengan Kabinetnya nanti, beliau boleh membentuk, merangka dan merancang pembangunan negara untuk sekurang-kurangnya lima tahun,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional dan UMNO Perak berkata, pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri adalah atas persetujuan ketika membentuk kerajaan perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN.
“Beliau dilantik Perdana Menteri sebab beliau Pengerusi PH dalam kerajaan gabungan antara PH dan BN.
“Saya tengok dalam perjanjian disebutkan kalau gabungan itu berlaku, kalau kerajaan perpaduan itu berlaku maka asas persetujuannya, bukan perjanjian, asas-asas persetujuan bersama pertamanya Perdana Menteri dari PH, Timbalan Perdana Menteri dari BN.
“Memandangkan Anwar adalah Pengerusi PH, maka beliau wajar dilantik sebagai Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN