PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis pakatannya dan Barisan Nasional (BN) dapat membentuk Kerajaan Persekutuan.
Katanya, ia selepas beliau berpuas hati dengan perkembangan perbincangan bersama wakil BN di sebuah hotel di ibu negara.
“Saya berpuas hati kerana perbincangan tumpu kepada keperluan mewujudkan kerajaan stabil (untuk) kepentingan rakyat. (Kami) menetapkan beberapa keutamaan dalam dasar terutama memacu pembangunan negara.
“(Kami) berpuas hati dengan perkembangan dan komitmen walaupun BN masih (meminta) sedikit waktu untuk melalui beberapa rundingan sebelum membuat keputusan muktamad,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen. – UTUSAN