PETALING JAYA: Laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan tidak dapat diakses oleh orang ramai sehingga ke hari pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), hari ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PH menerima banyak aduan daripada rakyat akibat kegagalan mengakses laman web itu bagi menyemak tempat mengundi sejak malam tadi.
“Kepincangan ini amat mendukacitakan kerana SPR seharusnya melakukan segala persediaan untuk memastikan kelancaran proses pengundian.
“Justeru, saya desak SPR untuk segera memperbetul masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Bagaimanapun, laman web SPR itu difahamkan sudah dibaiki dan boleh diakses oleh orang ramai untuk menyemak maklumat pengundian mereka.
“Pada peringkat awal tadi, ada masalah dari segi akses internet SPR dan saya difahamkan ia sudah diperbetul, namun dalam masa sejam itu memang menimbulkan banyak kesulitan.
“Saya juga lihat di beberapa saluran sebelum ini, memang memakan masa yang terlalu lama, hanya nak pergi mengundi sahaja sudah mengambil masa selama dua jam untuk beratur,” katanya. – UTUSAN