KANGAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin terus dicabar untuk melakukan pengisytiharan harta sebelum masuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) walaupun perkara itu tidak pernah diendahkan oleh beliau.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, calon Perdana Menteri daripada setiap parti perlu mengisytiharkan harta mereka supaya rakyat dapat menilai ketelusan perbelanjaan selama ini.
Katanya, tindakan itu akan membuatkan calon-calon berkenaan lebih dihormati dan rakyat juga dapat membuat penilaian sebaiknya bagi memilih pemimpin mereka.
“Disebabkan itulah saya kata dia (Muhyiddin) isytihar hartanya kalau nak jadi Perdana Menteri supaya rakyat boleh menilai tetapi dia tak berani.
“Kemudian dia guna Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang) keluar fatwa, isytihar harta ini kerja bodoh, jadi siapa nak hormat orang Islam jika ketua parti Islam sendiri jawab sebegitu,” katanya ketika berucap semasa Ceramah Grand Finale di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad di sini hari ini.
Hadir sama, calon PH Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad; calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling; calon PH DUN Sena, Asrul Nizan Abd Jalil; calon PH DUN Kuala Perlis, Nor Azam Karap dan beberapa lagi.
PH sebelum ini lantang mengulangi pendirian mereka agar setiap calon parti yang bertanding dalam PRU termasuk calon Perdana Menteri perlu mengisytiharkan harta mereka supaya rakyat boleh membuat penilaian dalam pemilihan untuk menjadi wakil rakyat.
Tambah Anwar, beliau mempunyai sebab tersendiri mengapa PH melakukan pengisytiharan harta buat semua calonnya yang bertanding dalam PRU15.
“Kita suruh isytihar harta itu agar orang tahu pemimpin yang bagaimana hendak dipilih sama ada pemimpin yang jujur kepada rakyat atau pemimpin yang ‘sakau’ duit rakyat. Kena isytihar harta biar rakyat tahu berapa banyak tanah, saham, kontrak yang dia ada selama ini,” katanya. – UTUSAN