PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bangga dengan komitmen ditunjukkan penjawat awam yang sanggup menghadiri mesyuarat biarpun diberikan notis singkat.
Pujian itu diberikan Anwar kepada penjawat awam termasuk wakil kementerian berkaitan yang hadir pada mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara 2022, pagi ini.
Anwar berkata, ia satu permulaan yang baik dan membanggakan memandangkan Ahad adalah hari minggu.
“Satu permulaan membanggakan saya kerana semua kementerian, Ketua Pengarah, Ketua Setiausaha (KSU) dan Gabenor Bank Negara hadir walaupun ini adalah hari minggu.
“Saya zahirkan kebanggaan saya sikap penjawat awam yang sering kali tidak dihargai masyarakat selama ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 bersama jabatan dan agensi kerajaan bagi membincangkan isu kos sara hidup.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali; Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus; pegawai-pegawai daripada Jabatan Perangkaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. – UTUSAN