IPOH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui perlu bekerja keras semasa berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk menang di kerusi Parlimen Tambun.
Katanya, beliau dan PH datang ke Tambun bersama keyakinan untuk memenangi kerusi Parlimen itu daripada penyandangnya, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
“Kita perlu yakin tetapi dalam masa yang sama perlu bekerja keras. Bagi saya, ia adalah cabaran baharu dan Datuk Asmuni Awi (calon PH di DUN Manjoi) telah berada di sini dan telahpun berkhidmat di kawasan.
“Saya tidak mengambil mudah tentang kerusi Parlimen Tambun walaupun banyak menghabiskan masa di luar kawasan semasa kempen pilihan raya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Meru di sini, semalam.
Mengulas beliau adalah calon luar, Anwar berkata, dia adalah rakyat Malaysia di dalam sebuah negara demokrasi.
“Saya orang Malaysia dan pernah menjadi orang Perak selama sembilan tahun serta bersedia berkhidmat di sini.
“Sudah tentu kami datang ke sini dengan keyakinan bahawa kami boleh mengambil tempat dan mengekalkan kedua-dua DUN Manjoi dan DUN Hulu Kinta,” katanya.
Parlimen Tambun menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Anwar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu),calon Barisan Nasional (BN), Datuk Aminuddin Md.Hanafiah dan calon Pejuang, Abdul Rahim Tahir.
Pencalonan mereka diterima dan diumumkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRU15 Parlimen Tambun, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.
Pada proses penamaan calon itu, hadir bersama penyandang DUN Manjoi, Datuk Asmuni Awi (Amanah) dan penyandang kerusi DUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PKR).
Ahmad Faizal pula tiba di pekarangan pusat penamaan calon bersama calon DUN Hulu Kinta, Puteri Holijah Muhamad Rali (Bersatu) dan calon DUN Manjoi, Hafez Sabri (Pas).
Aminuddin pula tiba bersama calon kerusi DUN Manjoi, Datuk Azizul Kama Abd Aziz dan calon DUN Hulu Kinta, Datuk Mazlan Abd Rahman.
DUN Hulu Kinta menyaksikan seorang calon Bebas yang juga kontraktor, S. Murugiah, 57, bertanding.
Pada PRU14, Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket PH menggunakan logo PKR, menang dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon BN dan Pas, selepas menerima 38,661 undi, dengan majoriti 5,320 undi. – UTUSAN