KETIKA sedang berbual dengan seorang teman, baru-baru ini, tidak sengaja terkeluar cerita mengenai pelakon dan pengacara, Aniq Suhair. Ketika itu, teman Cik Bunga tertanya-tanya mengenai artis lelaki muda berwajah tampan dan berbakat sebagai pengacara.
Dia pula kebetulan sedang mencari pengacara untuk sebuah program televisyen. Dalam fikiran Cik Bunga, terbayang wajah Aniq. Tidak silap Cik Bunga, Aniq pernah mengendalikan sebuah program TV, selain ligat berlakon.
Namun, cadangan Cik Bunga itu ditepis laju teman tadi yang mendakwa, Aniq sudah tidak lagi berminat dengan dunia seni. Terperanjatlah kita sebab takkan semudah itu Aniq putus asa? Lagipun, Aniq masih muda dan ada potensi untuk melangkah lebih jauh.
Khabarnya, keputusan itu dibuat Aniq kerana dia mahu melanjutkan pelajaran ke luar negara. Itu apa yang Cik Bunga dengarlah. Kalau betul itu sebab utama Aniq mahu lupakan dunia seni, bagi Cik Bunga, ia keputusan yang tidak perlu dipertikaikan.
Kenapa pula mahu menghalang orang yang berminat untuk sambung belajar dan meraih ilmu? Cuma, Cik Bunga tidak pasti Aniq nak sambung belajar jurusan apa.
Difahamkan, Aniq mahu sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi memenuhi permintaan kedua-dua orang tuanya. Kalau tidak silap, Aniq berasal dari keluarga yang bukan calang-calang.
Ibunya guru dan bapanya juga orang yang hebat. Keluarga Aniq memang mengutamakan ilmu dan pencapaian akademik. Jadi, tidak mustahil Aniq juga mempunyai impian untuk menambah ilmu demi masa depan yang terjamin.
Cuma, Cik Bunga harap, Aniq tidak melupakan terus kerjaya seni kerana dia ada potensi sebagai bakat pelapis. Kalau sesekali dapat berlakon dan jadikan sebagai kerjaya sampingan, mungkin okey juga. Tak begitu Aniq?