Anifah tolak tawaran BN, sokong Anwar sebagai Perdana Menteri

Anifah tolak tawaran BN, sokong Anwar sebagai Perdana Menteri

ANIFAH Aman (tiga kanan) semasa menghadiri Perhimpunan Kebangkitan Rakyat Putatan semalam
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Memasuki pusingan kedua kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman membuat kejutan apabila muncul dalam program Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Anifah, yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu bukan sekadar hadir dalam Perhimpunan Kebangkitan Rakyat Sepanggar malah, beliau secara terang-terangan menyatakan sokongan terhadap Anwar Ibrahim selaku calon Perdana Menteri.

Beliau berkata, penyertaannya dalam arena politik tanah air didorong oleh Anwar jadi, pada pilihan raya kali ini, beliau akan memberi sokongan terhadap Anwar yang akan diangkat sebagai calon Perdana Menteri PH.

“Saya hanya Presiden parti kecil, suara saya kecil tapi, kita mahu bersuara demi anak-anak kita dan rakyat negeri Sabah.

“Saya tidak tanding kerana saya mahu ikut serta dengan Anwar dan bantu calon-calon Harapan di merata-rata tempat.

“Inilah peluang terakhir kita menentukan siapa Perdana Menteri.

“Dalam keadaan ekonomi sekarang, kita perlukan seorang pemimpin yang boleh menangani masalah kemelesetan ekonomi dan pemimpin itu tidak lain dan tidak bukan adalah mantan Menteri Kewangan terbaik Malaysia iaitu, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya semasa Perhimpunan Kebangkitan Rakyat Sepanggar semalam.

Anifah berkata, beliau diminta oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak bertanding di Parlimen Kimanis dan membantu calon-calon Barisan Nasional (BN). Sebagai balasan, Presiden UMNO itu menawarkan jawatan Menteri Luar dan Senator kepadanya.

Mengulas lanjut katanya, bukan jawatan yang beliau kehendaki sebaliknya, beliau mahu agar tuntutan-tuntutan yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditunaikan.

“Apa yang saya kehendaki adalah lunaskan apa-apa yang termaktub dalam Perlembagaan dan MA63. Itu perjuangan saya dan sekitar 2015-2016, saya telah hadiri forum dan diberi surat amaran kerana bersuara tanpa melalui Kabinet.

“Malah, setiap kali bersama Perdana Menteri, saya berbisik, merayu dan memohon kepadanya agar MA63 dilaksanakan,” katanya.

Anifah berkata, sekiranya 40 peratus hasil itu diberikan kepada Sabah maka, belia dan anak-anak tempatan akan mempunyai peluang pekerjaan dalam industri yang boleh dibangunkan melalui hasil yang diperoleh itu.

Malah, hasil tersebut boleh digunakan untuk menghantar lebih banyak anak-anak tempatan melanjutkan pengajian ke peringkat universiti. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya