Ancaman Rafizi boleh buka salah guna kuasa jika PH memerintah

Ancaman Rafizi boleh buka salah guna kuasa jika PH memerintah

TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli tidak wajar mengeluarkan kenyataan berunsur ancaman terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ekoran serbuan terhadap Invoke Solutions Sdn. Bhd.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, selaku penjawat awam, pegawai SPRM hanya menjalankan tugas mengikut lunas undang-undang dan bidang kuasa yang diberikan kepada mereka.

Beliau berkata, kenyataan sedemikian seolah-olah menidakkan tanggungjawab penjawat awam untuk menjalankan tugas yang diamanahkan sekali gus menjatuhkan martabat integriti golongan tersebut.

“Sedangkan, siasatan yang dilakukan SPRM terhadap Rafizi adalah atas dasar laporan yang diterima suruhanjaya itu daripada orang awam.

“Ugutan dan ancaman yang diberikan Rafizi berbaur seperti wujudnya matlamat untuk menyalahgunakan kuasa dengan mengambil tindakan terhadap penjawat awam sekiranya PH berpeluang menjadi kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, Rafizi ketika berucap pada Ceramah Mega PH di Johor Bahru malam tadi memberi amaran kepada Azam bahawa PH akan ‘mencarinya’ selepas mereka menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Semalam, Invoke yang diasaskan Rafizi diserbu sekali lagi SPRM dan beliau turut mengesahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah menghantar notis untuk melakukan perkara yang sama.

RAFIZI RAMLI

Tengku Adnan berkata, perkara ini perlu dipandang serius kerana sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan khususnya bertentangan dengan Kanun Keseksaan atau Akta SPRM perlu disiasat tanpa melihat pendirian mereka dalam mana mana parti politik.

Justeru katanya, ugutan dan ancaman sebegini bererti mana-mana individu dalam kalangan pemimpin PH yang disiasat SPRM selepas ini adalah satu kesalahan dan penjawat awam tersebut perlu dihukum.

“SPRM menjalankan siasatan terhadap Rafizi disebabkan pengisytiharan harta yang dilakukan sendiri oleh Rafizi tanpa paksaan daripada mana mana pihak. 

“Sewajarnya, Rafizi bersifat lebih terbuka dan berani untuk siasatan dilakukan terhadap perolehan asetnya kerana itulah tujuan kenapa pengisytiharan harta dilakukan di peringkat yang pertama. Sekiranya wujud keraguan, SPRM akan menjalankan fungsinya untuk mendapatkan kebenaran dan kesahihan,” katanya. 

Dalam pada itu, Tengku Adnan menzahirkan kebimbangan tindakan ugutan calon PH Parlimen Pandan itu terhadap SPRM bukan sahaja mendatangkan kesukaran terhadap penjawat awam menjalankan fungsinya, sebaliknya SPRM akan digunakan sebagai alat untuk memenuhi keperluan dan kepentingan PH sekiranya mereka berpeluang menjadi kerajaan. 

“Saya berpendapat bahawa ini adalah satu tindakan yang tidak wajar dan tindakan ini perlu ditentang habis-habisan supaya tidak wujud budaya penyalahgunaan kuasa pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya