KUALA LUMPUR: Perang persepsi yang dibangkitkan dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak menjamin kualiti seorang pemimpin mampu menjadi wakil rakyat yang baik atau sebaliknya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pada masa inilah semua rakyat Malaysia seharusnya menggunakan peluang memilih pemimpin yang betul bagi menjamin masa depan negara serta kehidupan generasi akan datang.
“Saya cuma hendak pesan kepada semua pengundi, proses yang kita pilih ini bukan proses yang kita mahu tengok siapa cipta persepsi yang baik. Atau siapa paling pandai buat persepsi. Sebenarnya proses pemilihan ini adalah untuk memilih pemimpin khususnya 222 ahli Parlimen yang kita nak pertaruh untuk generasi akan datang.
“Kalau kita ada 222 ahli Parlimen bukan kerana persepsi, maka pemimpin yang dipilih ini juga tidak akan membuat polisi bersifat sementara atau persepsi. Saya hendak beritahu bahawa inilah peluang untuk semua pengundi di seluruh negara, yang akan mengundi 222 ahli Parlimen,” katanya.
Johari berkata, pemilihan wakil rakyat yang salah akan merencatkan pelaksanaan dalam jangka masa yang panjang.
“Kalau letak salah pemimpin di dalam itu, akhirnya banyak polisi-polisi ini bersifat sementara, bersifat jangka pendek dan gunakan Parlimen sebagai wadah mencipta persepsi antara pembangkang dan kerajaan. Sebab itu ia bukan matlamat pilihan raya.
“Matlamat pilihan raya adalah untuk meletakkan pemimpin yang betul dalam Parlimen untuk mereka mengharungi dan bertanggungjawab memberi satu kebaikan dalam masa lima tahun akan datang. Kalau dalam masa lima tahun itu mereka tak jalankan tanggungjawab, PRU seterusnya, anda tahu bagaimana nak pilih,” ujarnya.
Beliau berkata, negara sukar membangun jika tidak mempunyai pemimpin yang berkualiti, berintegiriti serta menjalankan kerja-kerja dalam membantu rakyat. – UTUSAN