IPOH: Amanah Perak mendakwa Pakatan Harapan (PH) kini sedang mendahulu parti-parti lain di sebahagian besar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di negeri ini, walaupun Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) belum bermula.
Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi mendakwa, ia berdasarkan maklum balas yang diperoleh di lapangan yang menunjukkan sokongan kepada PH mendahului parti-parti lain.
“Justeru, momentum ini perlu diteruskan bagi memastikan PH menang majoriti kerusi untuk membentuk kerajaan.
“Seluruh jentera Amanah Perak dan PH digesa untuk mempertingkat gerak kerja di lapangan dan ruang maya kepada semua segmen pengundi di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sebagai sebuah negeri yang menjadi ‘barisan hadapan’ bagi PH untuk PRU15 dan kehadiran pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding di Parlimen Tambun, gelombang sokongan dari rakyat negeri ini semakin meningkat dari sehari ke sehari.
Beliau juga memberi jaminan bahawa PH kekal utuh sebagai satu pasukan dalam gerak kerja pilihan raya dan berada dalam landasan yang tepat untuk mencatat kemenangan PRU kali ini.
Menurutnya, kesemua calon yang diketengahkan telah mula bergerak dan turun ke lapangan bagi memperkenal diri dan memberi penerangan terhadap isu-isu yang dibangkitkan pihak lawan dan membentangkan gagasan PH kepada pengundi.
“Walau bagaimanapun, percubaan musuh politik yang berterusan memainkan sentimen bangsa dan agama yang sempit dalam kempen-kempen mereka amat dikesali kerana tohmahan dan tuduhan liar yang dilemparkan jelas berbaur fitnah, semata-mata untuk mendapat perhatian pengundi khususnya di kalangan pengundi Melayu.
“Dalam memerangi hal ini, kami menyeru kepada semua pengundi untuk menilai secara objektif, gagasan yang kami kemukakan dan rekod perkhidmatan yang kami capai semasa kami mentadbir negeri ini,” jelas beliau.
Beliau menjelaskan, fokus utama gerak kerja Amanah dan PH di Perak adalah mengembalikan mandat rakyat yang dikhianati pada PRU14 dan mencipta sejarah ulung negara, dengan memastikan Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10. – UTUSAN