PADANG BESAR: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Besar, Datuk Zahida Zarik Khan yang terpaksa membataskan pergerakan ketika berkempen kerana masih dalam tempoh edah selepas kematian suami Ogos lalu bergantung harap kepada seluruh jentera parti bahagian tersebut membantunya.
Katanya, dalam keadaan masih berada dalam tempoh edah, beliau perlu membataskan pergerakan diri ketika berkempen bagi mematuhi perintah syarak.
Ujarnya, sokongan daripada jentera BN dan seluruh rakyat di sini sangat penting bagi membantu kemenangan di Padang Besar.
“Saya sedar ini masa untuk saya mengenal setiap segi mengenai keluhan, gaya hidup, kesantunan, makanan, budaya serta keperluan rakyat di sini. Ini menuntut masa untuk saya mempelajarinya dan menyusun langkah terbaik untuk memahami keperluan rakyat di sini.
“Ajarlah dan didiklah saya. Saya bergantung harap kepada seluruh jentera BN Padang Besar. Tenaga dan penat lelah kalian adalah kekuatan saya,” katanya menerusi satu video memperkenalkan diri sebagai calon Parlimen Padang Besar di Facebooknya semalam.
Parlimen Padang Besar bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan Zahida; Muhammad Saad@Yahya (PH); Rushdan Rusmi (PN); Ko Chu Liang (Warisan) dan Datuk Zahidi Zainul Abidin (Bebas)
Zahidi menguasai Parlimen Padang Besar sejak dua penggal lalu iaitu pada Pilihan Raya Umum 2013 dan 2018. Sebelum itu, pada pilihan raya umum 1999 dan 2004, Zahidi menjadi penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Beseri.
Sementara itu, Zahida yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO berkata, kesemua calon BN di kawasan DUN di bawah Parlimen Padang Besar menjadi rujukannya.
“Kakanda semua adalah tiang-tiang seri yang mengukuhkan sebuah rumah jentera BN. Kukuh dan kuatnya anda, kuatlah juga kami dalam menerima apa jua badai melanda. Kita bergerak dalam satu pasukan dan keluarga besar,” katanya.
Tambah Zahida, beliau memikul amanah yang diberikan parti untuk mengukuhkan bilangan kaum wanita di Parlimen.
“Ini bukan bermakna saya menjadi pejuang wanita semata-mata, ia adalah amanah untuk membawa seluruh rakyat Padang Besar di mana sahaja saya berada,” katanya. – UTUSAN