KUALA TERENGGANU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi perlu bertanggungjawab atas kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), semalam.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, UMNO menjadi korban akibat tindakan pemimpin atasan yang menjadikan parti itu sebagai tebusan.
Menurutnya, Ahmad Zahid perlu berundur secara bermaruah dan menerima hakikat bahawa rakyat tidak menyukai beliau.
“Baik-baik jadi kerajaan, sibuk desak nak PRU15 dan ditambah dengan strategi yang lagi menjahanamkan kawasan putih BN. Terimalah hakikat, rakyat tidak suka pada Presiden UMNO. Pentaksub masih tidak mahu menerima kenyataan ini.
“Berundurlah wahai Presiden UMNO, Zahid Hamid dengan bermaruah supaya tiada ruang untuk kerjasama UMNO dan PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, lebih menyedihkan kerana segala kebaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seolah-olah tidak bermakna di mata rakyat.
“Hanya kerana rakyat tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah pemimpin yang rakus dan ego. Ke mana hala tuju kita selepas ini? Jajaran baharu? Bila lain pandangan, kita dituduh pengkhianat. Sudah-sudahlah mendukung ‘biawak hidup’. Liabiliti kepada parti ini perlu disingkirkan,” tegasnya. – UTUSAN