PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada Pasukan Hoki Kebangsaan atas kejayaan sulung menjulang Piala Sultan Azlan Shah 2022, semalam.
Istana Negara memaklumkan, Seri Paduka berdua menzahirkan sukacita dengan pencapaian pasukan itu yang sekali gus menamatkan penantian 39 tahun Malaysia sebagai tuan rumah untuk muncul juara kejohanan berkenaan.
“Seri Paduka berbangga dengan semangat kerja berpasukan dan perjuangan tinggi, beraksi sepenuh jiwa yang dipamerkan Pasukan Hoki Kebangsaan pada perlawanan akhir edisi ke-29 yang menumbangkan juara bertahan, Korea Selatan.
“Ucapan setinggi tahniah dan penghargaan turut dizahirkan kepada barisan pengurusan Konfederasi Hoki Malaysia yang dipimpin Presiden, Datuk Seri Subahan Kamal di samping pengurus pasukan, Datuk Mirnawan Nawawi dan ketua jurulatih, A.Arulsevaraj serta mereka yang di sebalik tabir yang menyumbang kepada kejayaan berkenaan,” jelas Istana Negara dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Istana Negara memberitahu, Seri Paduka berharap agar kejayaan itu menjadi suntikan semangat buat Pasukan Hoki Kebangsaan untuk berlatih dan bekerja lebih keras dalam persediaan menghadapi Kejohanan Piala Dunia Konfederasi Hoki Kebangsaan, tahun depan.
Katanya, Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada penyokong atas sokongan padu hingga pasukan negara beroleh kemenangan bermakna yang melakar sejarah buat Malaysia. – UTUSAN