PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bertemu dengan petugas media yang berkampung di pekarangan Istana Negara hari ini.
Petugas media berada di situ sejak pagi tadi bagi mendapatkan perkembangan lanjut mengenai pembentukan kerajaan Persekutuan selepas plihan raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Setakat pukul 2.30 petang ini, suasana di Pintu 1, Istana Negara tenang dengan tanpa sebarang pergerakan melibatkan pemimpin gabungan parti politik dilaporkan.
Malah, hanya pergerakan keluar beberapa kenderaan pengiring termasuk kereta membawa Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Tunku Azizah sempat melambai kepada pengamal media yang bertugas sebelum meninggalkan Istana Negara kira-kira pukul 2.20 petang.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melanjutkan tempoh pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 sehingga pukul 2 petang esok (Selasa, 22 November).
Titah perkenan Seri Paduka Baginda itu susulan permohonan daripada ketua parti-parti politik dan gabungan parti-parti politik yang telah diterima oleh pihak Istana Negara hari ini.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 selesai.
“Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa di bawah pengurusan Perdana Menteri Sementara atau “Caretaker Prime Minister” berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan bagi Kerajaan Sementara (Caretaker Government),” katanya.- UTUSAN