KOTA TINGGI: Penyandang kerusi Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr. Adham Baba memberi sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional (BN) di kawasan itu, Manndzri Nasib pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu dalam satu kenyataan berkata, beliau sebagai orang parti dan berjiwa besar mahu memastikan kemenangan BN.
“Sebagai Ketua UMNO Bahagian Tenggara, saya menyatakan sokongan penuh kepada calon BN Parlimen Tenggara, saudara Manndzri Nasib.
“Saya orang parti. Saya berpandangan adalah penting untuk pemimpin berjiwa besar dan menyokong calon muka baharu dalam memastikan kemenangan BN,” katanya yang bersedia bersama jentera parti berkempen untuk Manndzri sepanjang PRU15.
“Saya berharap agar pengundi akan terus memberi kepercayaan serta undi kepada calon BN,” katanya. – UTUSAN