ALOR SETAR: Sebahagian pemimpin UMNO didakwa sengaja mengatur strategi bagi mengecilkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, maklumat diterimanya menyatakan, tindakan tersebut adalah sebahagian daripada langkah untuk membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU-15.
Katanya, tindakan tersebut diatur oleh sebahagian pemimpin UMNO bagi menyelamatkan diri masing-masing.
“Kami difahamkan ada dalam kalangan pimpinan UMNO yang mahu kecilkan kemenangan BN untuk bekerjasama dengan PH. Tindakan mengecilkan kemenangan UMNO itu dibuat bagi membesarkan kemenangan PH untuk kedua-dua parti tersebut bergabung selepas PRU-15.
“Sekarang ini ramai dalam kalangan orang UMNO yang tak setuju dengan PH sementara golongan tertentu ini berjanji mendukung pemimpin yang nak bergabung dengan PH, untuk membebaskan diri.
“Mereka cuma mahu selamatkan diri dan bukan hendak selamatkan rakyat. Sama ada mereka mahu jadikan pemimpin PH sebagai Perdana Menteri, perkara itu kini terpulang kepada BN sendiri,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional (PN) Kedah di Kompleks Pas Kedah, malam tadi.
Abdul Hadi berkata, langkah tersebut adalah susulan kepada kegagalan pihak tertentu untuk menarik UMNO ke dalam ‘khemah besar’ sebelum ini.
“Mereka cuba guling kerajaan PN di Persekutuan tetapi gagal. Mereka jatuhkan kerajaan negeri di Perak tetapi tak boleh tubuh kerajaan. Itu tanda aras yang boleh dibaca dengan jelas. Terdapat cubaan membawa BN ke arah itu (bekerjasama dengan PH) namun apa yang pasti, kita jelas takkan bersama PH,” katanya. – UTUSAN