KUALA NERUS: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Abdul Rashid Ngah meninggal dunia di Hospital Kajang, Selangor, malam tadi.
Menurut adik iparnya, Mohd. Shapian Ali, Allahyarham yang berusia 85 tahun menghembuskan nafas terakhirnya di sisi keluarga terdekat kira-kira pukul 10.15 malam.
Katanya, jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya pada pukul 11 pagi ini.
Jelasnya, tahap kesihatan arwah agak merosot kebelakangan ini akibat sakit jantung dan sakit tua dan telah dimasukkan ke Hospital Kajang sejak hampir seminggu lalu.
“Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar buat keluarga kami kerana sifat kasih sayangnya terhadap kami semua.
“Walaupun dalam keadaan tidak berapa sihat, arwah tetap aktif menulis buku dan novel bergenre kenegaraan serta politik namun tidak sempat diterbitkan sehingga kini.
“Jenazah Allahyarham tidak akan dibawa pulang ke Terengganu sebaliknya akan dikebumikan di Putrajaya, hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Allahyarham merupakan wakil rakyat paling lama berkhidmat di Seberang Takir sejak 1973 sebelum mengumumkan persaraan daripada arena politik pada 2004.
Allahyarham juga bekas guru selain terkenal sebagai pengarang dan penulis novel antaranya berjudul ‘Di Bawah Alunan Ombak’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1961. – UTUSAN