BATU PAHAT: Seramai 8,600 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan untuk memantau perjalanan kempen di negeri ini sepanjang proses Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pada masa yang sama seramai 3,800 pegawai dan anggotanya akan bertugas di 26 pusat penamaan calon pada 5 November ini.
“Ahli politik juga dinasihatkan untuk mematuhi setiap perkara yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Semua pihak terbabit juga diminta untuk saling bertoleransi agar perjalanan proses pilihan raya nanti berjalan lancar, aman dan tidak ada sebarang gangguan,” katanya selepas melawat Pusat Penamaan Calon Parlimen Batu Pahat di Dewan Jubli Intan, hari ini.
Bagi pengundian awal di negeri ini, Johor mempunyai 63 pusat dengan 96 saluran dan bagi hari pengundian (19 November), Johor mempunyai 1,024 pusat dengan 4,685 saluran.
“Pihak polis juga sudah mengenal pasti lapan kawasan yang telah dikategorikan sebagai panas, kita akan berikan lebih tumpuan di situ.
“Polis Johor turut melakukan pemantauan sekiranya wujud kegiatan membeli undi bagi menentukan kemenangan seseorang calon,” katanya. – UTUSAN