KUALA LUMPUR: Enam kesalahan utama dikenal pasti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkemungkinan berlaku ketika berkempen dan pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, antara kesalahan itu ialah mengoyak poster dan papan tanda parti serta calon yang bertanding, mengeluarkan kata-kata atau perbuatan berbaur hasutan dan bergaduh.
“Kesalahan lain yang menjadi perhatian polis seperti melakukan demonstrasi, menyebarkan berita palsu melalui media sosial dan internet serta melakukan tohmahan.
“Pihak polis tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya sekiranya mengesan enam kesalahan ini yang lazimnya berlaku pada pilihan raya umum,” katanya selepas melawat Pusat Penamaan Calon Parlimen Pantai di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, di sini hari ini.
Beliau berkata, selain tindakan di bawah Akta Kanun Keseksaan, PDRM juga menggunakan undang-undang dan peraturan-peraturan berkait secara langsung dengan pilihan raya.
“Tindakan mengikut akta lain yang boleh diambil adalah Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003,” jelasnya. – UTUSAN